Kejam kah kita?


Anak balik sekolah. Muka tak mahu senyum. Muka macam kecewa sangat. Bila tanya tak nak jawab. Terus tido. Cikgu mula datang bertanya. Pertanyaan cikgu, "puan, anak puan ni masih belum pandai baca lagi. Huruf pun selalu lupa. Nombor apa tah lagi. Tak fokus bila belajar. Nampaknya kita kena masukkan dia ke kelas intensif. Bayaran nya RM bla..bla..bla..".

Ibu bapa stress dengan permohonan cikgu. Duit kena keluar lagi. Cikgu pun stress. Ada pelajar yang ketinggalan. Cikgu kena catch up. Kena selaras supaya senang nak masuk sekolah nanti. 

Tapi, bagaimana dengan perasaan pelajar tersebut? Anak sekecil 4, 5 tahun yang kebanyakan nya baru merasai alam persekolahan. Baru kenal apa itu 'Cikgu'. Baru kenal kawan-kawan. Baru kenal apa itu tadika. Di mata mereka, sekolah itu indah. Tempat bermain bersama kawan-kawan. Ingin belajar berinteraksi dengan seorang dewasa lain yang bernama cikgu atau teacher. Ingin sekali kanak-kanak ini bercerita dengan guru nya mengenai apa yang dilihat di sekolah. 

Permulaan sekolah, semuanya sangat indah seperti awal-awal perkenalan. Selepas beberapa bulan, semuanya berubah. Pembelajaran yang berlangsung lebih kepada menghafal dan kanak-kanak ini mesti mengingati apa yang diajar. Jika ada yang ketinggalan, pendekatan cikgu mula berubah. Kanak-kanak ini mula merasa takut ingin ke sekolah sebab katanya cikgu garang. Nanti cikgu marah bila tak dapat baca. Tiap-tiap pagi kena paksa ke sekolah. Indah di minda mereka pada permulaan nya, tetapi rupanya sangat menakutkan.

Siapa yang bersalah? Cikgu hanya mengikut sistem pembelajaran yang ditetapkan. Sistem. Ya, sistem. Kanak-kanak seawal 4 dan 5 tahun diberikan tanggungjawab yang sangat berat. Setiap manusia bukan otak nya sama. Bukan juga kepintaran nya sama. Tapi telah dipaksa untuk menerima sistem yang telah ditetapkan sejak bertahun-tahun lamanya. Jika pintar, pasti disukai cikgu. Tapi, jika tidak, kurang disukai dan mula dianggap tak pandai atau lembab. Sudah lah kanak-kanak ini otaknya dipaksa bekerja dengan lebih kuat melebihi keupayaannya, ditambah pula lagi dengan perasaan rendah diri terutama di kalangan rakan-rakannya. Jangan kita fikir mereka masih kecil, masih tadika, mereka tidak punyai perasaan seperti itu.

Semasa zaman kita dahulu pun, sistem itu sudah kejam. Kita sudah merasainya. Nampaknya setelah berpuluh-puluh tahun, keadaanya masih sama, malahan lebih lagi. Peperiksaan wajib yang harus diduduki untuk masuk ke darjah 1 merisaukan ibubapa. Semua ingin mengejar kelas pertama. Tak mahu kalah dengan orang lain. Dipaksanya anak-anak menghafal semuanya seolah-olah nak exam SPM. Sekarang ini, sudah pun ada tadika yang mewajibkan kanak-kanak untuk menduduki peperiksaan dahulu sebelum berjaya masuk ke tadika.

Tidakkah kita kejam terhadap kanak-kanak ini? Jiwa mereka tersiksa, terbeban sejak kecil lagi. Kasihanilah mereka. Berilah mereka ruang untuk bernafas. Ajarilah mereka nilai-nilai murni dalam kehidupan dan berikan ruang untuk kanak-kanak ini belajar dengan tenang tanpa perasaan tertekan.

Gambar hiasan


Aku sayang anak-anak aku. 


Comments

Popular Posts